SEJARAH PENUBUHAN PEKEMA

Sejarah PenubuhanPada Peringkat awal kemerdekaan Tanah Melayu, penglibatan Bumiputera dalam sektor perniagaan langsung tidak ketara.Namun titik hitam 13 Mei 1969 telah merubah pandangan kerajaan terhadap keadaan ini dan mendorong kepada satu perancangan dasar yang lebih strategik. Maka lahirlah Dasar Ekonomi Baru (DEB). Tindakan kerajaan ini membuka laluan ke arah pencapaian matlamat pegangan 30 peratus kekayaan negara. Ia menjadi perangsang kepada orang Melayu menceburkan diri dalam bidang perdagangan dan perindustrian yang sebelum ini seolah-olah asing bagi mereka.

Tercetusnya Dasar Ekonomi Baru, kerajaan dengan secara terancang menggalakkan penglibatan Bumiputera dalam bidang ini. Justeru, pada tahun 1970 lahirlah dasar pengimportan kenderaan bermotor secara terkawal melalui pengeluaran AP yang diperuntukkan sepenuhnya kepada syarikat kepunyaan Bumiputera.

Dengan itu bermulalah era di mana Bumiputera menubuhkan syarikat dan melibatkan diri secara aktif dalam bidang pemasaran automotif.17e87e54f3966e1a9c8d11de6458be56

Syarikat-syarikat ini telah mengimport kereta-kereta terpakai atau dikenali dengan ‘re-conditioned cars’, terutamanya jenama dari Jepun yang telah mencapai usia diantara 5 hingga 7 tahun. Modal pusingan adalah terhad di antara RM50,000 hingga RM100,000 untuk membeli kereta berharga sekitar RM5 ribu hingga RM8 ribu seunit. Peruntukan AP adalah sekitar 30 hingga 200 unit setahun kepada lebih kurang 269 syarikat pengimport. Bermula dari sini mereka berusaha dengan gigih untuk terus berdaya maju.

1960-bangunan-sultan-abdul-samad-3
Pada tahun 1981 Syarikat-syarikat ini telah bersepakat menubuhkan sebuah persatuan yang dinamakan ‘PERSATUAN PENGIMPOT DAN PENIAGA KENDERAAN MELAYU MALAYSIA’ atau dikenali dengan singkatan nama ‘PEKEMA’. Bermula dengan 48 syarikat ahli, PEKEMA terus berkembang, dan kini jumlah keahliannya mencecah 210 syarikat.

Pada era awal 80-an pelbagai model kereta import dari Jepun dan Eropah seperti Honda, Toyota, Nissan, Mercedes dan BMW mula membanjiri jalanraya di seluruh negara. Ini merupakan petanda yang baik bagi pasaran yang lebih kompetitif dan memberi pilihan yang lebih luas kepada pengguna kenderaan di Malaysia.

Sejarah Penubuhan

Penubuhan Proton pada tahun 1983 dan kemudiannya Perodua pada 1993 membuka lebih banyak peluang kepada syarikat-syarikat Bumiputera menjadi pengedar kereta Nasional tersebut, selain pelantikan oleh syarikat pemasang kenderaan dalam negeri yang tidak seberapa jumlahnya. Pengimport-pengimport bebas kenderaan terpakai sedikit demi sedikit mengumpul dana hasil keuntungan dan dilaburkan untuk mengimbangi peningkatan harga belian kereta dari semasa ke semasa. Lebihannya diguna untuk mengembangkan operasi dan perniagaan masing-masing.

Kemelesetan ekonomi dunia pada sekitar tahun 1985 hingga 1987 turut melanda ekonomi Malaysia. Lebih daripada separuh syarikat pengimport dan wakil penjual automotif Bumiputera menghentikan perniagaan kerana kerugian yang teruk. Ada yang diisytiharkan muflis. Keuntungan dan dana yang dikumpul selama ini telah dengan sekelip mata lenyap. Mereka bermula semula dari bawah. Yang mampu berdikari membina kekuatan masing-masing dengan menggunakan sumber dan usaha sendiri. Yang kurang berkemampuan bersepakat dengan menubuhkan syarikat-syarikat konsortium.

Kejayaan ini juga turut disokong oleh tindakan Kementerian Perdagangan dan Perindustrian (MITI) yang telah mengambil tindakan bersepadu membimbing yang berupaya dan menapis pengusaha yang kurang jati diri. Mereka meneruskan perniagaan dan mengukuhkan kedudukan dengan lebih yakin dan berkemampuan.

Pertumbuhan pesat ekonomi negara di era tahun 90-an telah merangsang semangat baru kepada pengusaha automotif Bumiputera dengan keadaan kuasa belian dan pasaran semakin meluas. Maka bermulalah pula syarikat-syarikat Bumiputera mempertingkatkan usaha memperolehi Francais bagi kereta-kereta yang belum lagi dipasarkan di Malaysia. Menyemarakkan lagi penyertaan Bumiputera dalam industri ini.

Tahun 1997, Malaysia dilanda kemelut kewangan mencetus krisis ekonomi serius yang datang secara mendadak. Perniagaan automotif sekali lagi terjejas teruk dan mengakibatkan kerugian terkumpul mencecah ratusan juta Ringgit. Syarikat pengimport bebas terus bertahan dengan menggunakan lebihan dana yang selama ini terkumpul serta menambah pinjaman bank. Namun syarikat-syarikat pemegang francais kereta banyak yang terkubur.

Syarikat-syarikat francais Bumiputera seperti Porsche, Opel, Suzuki, Alfa Romeo, Rover, Chevrolet, Fiat beralih kepada syarikat-syarikat pegangan awam atau GLC yang mempunyai dana yang lebih mantap.

Syarikat-syarikat pengimport bebas yang diperuntukkan AP yang lebih banyak telah membuktikan kejayaan mereka yang jelas terserlah dengan bilik-bilik pameran yang gah dan menarik di merata ceruk Lembah Klang dan Bandar-bandar besar yang lain. Dalam masa yang sama bergerak maju mempelbagai urusniaga mereka. Syarikat yang mendapat AP dengan jumlah yang lebih kecil dan sederhana pula meningkat secara sederhana dengan peluang yang terhad.

20151222112206_logo baru miti 2015-jpg (slide)Pelbagai usaha telah dijalankan dan akan sentiasa dipertingkatkan dari masa kesemasa oleh pihak kerajaan dan juga PEKEMA untuk memastikan industri dibawa ke suatu tahap yang lebih baik. Pada tahun 2009 MITI telah memperkenalkan pendekatan baru Pentadbiran AP Terbuka. Syarikat-syarikat pengimport diwajibkan menepati syarat dan kreteria yang ditetapkan oleh pihak MITI diantaranya ialah seperti mengemukakan penyata kewangan beraudit terkini sebelum peruntukan AP tahunan dikeluarkan. Pihak MITI juga menghantar pasukan audit ke premis-premis perniagaan syarikat pengimport untuk memastikan syarat dan terma dipatuhi. Mempertingkatkan keupayaan kewangan, mempertingkatkan keupayaan pengurusan syarikat dan penubuhan bilik-bilik pameran yang lebih canggih dan terkini.

Pada tahun 2010 pewartaan harga gazet kereta import terpakai telah diperkenalkan. Kenderaan import CBU terpakai menggunakan nilai yang diwartakan melalui Perintah Kastam(Nilai-nilai Kenderaan Motor Pasang Siap Yang Diimport)(Terpakai). Banyak manfaat yang diperolehi diantaranya ialah sistem pengiraan duti yang lebih sistematik dan telus.

MITI telah menguat-kuasakan penggunaan dokumen tambahan iaitu Registration Meter Certificate Preservation Record (RMCPR) bagi kenderaan yang diimport dari Jepun dan dokumen HPI bagi kenderaan yang diimport dari United Kingdom. Dokumen tersebut mencatitkan sejarah kenderaan dinegara asal untuk tujuan pengurusan yang lebih berkesan di Malaysia.

Kewujudan pengusaha automotif Bumiputera tidak boleh dinafikan telah memberi sumbangan positif kepada pembangunan ekonomi negara. Sesungguhnya peruntukan AP ini telah mencipta banyak kejayaan besar kepada usahawan Bumiputera. Walau ada yang skeptikal terhadap keupayaan serta sumbangan mereka kepada bangsa dan negara, tidak dapat di nafikan bahawa dasar ini telah melahirkan ramai jutawan Melayu/Bumiputera yang berjaya.

Sumbangan syarikat-syarikat pengimport kepada ekonomi Negara sememangnya amat significant tidak dapat dinafikan lagi. Kejayaan mereka telah terserlah dalam kegiatan pelaburan yang pelbagai dianggarakan melebihi 1.5 billion Ringgit seperti dalam industri perhotelan, hartanah, pengangkutan, perladangan, pemakanan, perubatan dan sebagainya. Laba yang diperolehi dilaburkan kembali untuk pembangunan dalam Negara. Manfaatnya juga dinikmati oleh 70 ribu rakyat Malaysia dalam pelbagai bidang kerjaya. Berbilion Ringgit disumbangkan dalam bentuk pembayaran duti import, duti eksais, cukai korporat dan individu, fi RM10 ribu bagi setiap AP yang diluluskan selain meningkatkan penggunaan khidmat pelabuhan tempatan serta perniagaan sampingan. Berjuta Ringgit setahun diperuntukan oleh Yayasan PEKEMA kepada aktiviti kemasyarakatan dan membantu pihak yang kurang berkemampuan.

Setelah lebih 30 tahun menceburkan diri dalam dunia perniagaan automotif, pelbagai rintangan dan cabaran telah dilalui dan tidak kurang juga kejayaan yang dikecapi. Pengalaman ini telah mematangkan para pengusaha bumiputera dan menjadikan mereka sentiasa bersiap-siaga dan kekal bertahan di dalam industri yang tidak menentu dan serba mencabar ini. Dalam persiapan untuk mengharungi keadaan urusniaga yang lebih mencabar dengan ekonomi Negara yang lebih terbuka kepada cabaran global yang pastinya memerlukan tahap ketahanan dan persaingan yang lebih sengit, bukan sahaja kecekalan yang diperlukan tetapi juga peningkatan pengetahuan.

week-15-apeg

PEKEMA akan terus memperjuangkan hak dan nasib ahlinya agar dapat berganding bahu dengan tonggak pemerintahan bagi merealisasikan matlamat membina keunggulan dan keutuhan pengusaha Bumiputera serta menyerlahkan wibawa anak bangsa dalam dunia keusahawanan.