KAJIAN SEMULA DASAR AUTOMOTIF NASIONAL

MITI Memacu Agenda Liberalisasi Kerajaan, Mengambil Langkah Ke arah Mewujudkan Industri Automotif Tempatan yang Lebih Kompetitif di Pasaran Domestik, Serantau dan Antarabangsa


Dasar Automotif Nasional (NAP) telah diperkenalkan pada 22 Mac 2006 untuk membantu usaha transformasi dan integrasi industri automotif tempatan secara optimum ke dalam jaringan industri serantau dan global yang semakin liberal dan kompetitif. NAP merupakan teras utama dalam penggubalan hala tuju strategik industri di bawah Pelan Induk Perindustrian Ketiga (IMP3), 2006-2020.

Selepas tiga setengah tahun diperkenalkan, NAP telah dikaji semula bagi mewujudkan dasar-dasar baru yang akan meningkatkan daya saing pasaran bagi syarikat tempatan dan antarabangsa.

Selaras dengan komitmen Kerajaan untuk meliberalisasikan industri automotif dan konsep ‘rakyat didahulukan,’ kajian semula NAP memberi faedah kepada pengguna terutamanya dari segi jaminan keselamatan dan perlindungan terhadap alam sekitar.

Di bawah kajian semula NAP, pelbagai pihak dalam industri automotif telah dirujuk bagi mendapatkan maklumat terperinci dan amalan terbaik daripada sektor swasta, pertubuhan dan agensi kerajaan. Sasaran utama kajian semula NAP adalah untuk memastikan peningkatan keupayaan dan daya saing industri automotif tempatan dalam jangka panjang dengan mengambil kira perkembangan terkini industri automotif di peringkat serantau dan antarabangsa di samping menawarkan kenderaan yang lebih selamat, mesra alam dan berteknologi tinggi kepada pengguna.

Objektif utama kajian semula NAP ini adalah untuk:

  • memastikan pembangunan industri automotif tempatan yang terancang dan tersusun serta meningkatkan keupayaan dan daya saing industri dalam jangka panjang berikutan liberalisasi pasaran;
  • mewujudkan persekitaran pelaburan yang kondusif bagi menggalakkan pelaburan tambahan dan baru;
  • meningkatkan daya saing syarikat pembuat kenderaan berstatus nasional melalui usahasama strategik;
  • menggalakkan pembangunan teknologi baru dan terkini dalam industri automotif domestik;
  • menggalakkan pembangunan aktiviti pengeluaran dalam bidang niche yang mempunyai nilai tambah yang tinggi;
  • meningkatkan penyertaan Bumiputera yang berterusan dalam industri automotif;
  • meningkatkan standard keselamatan bagi menjamin keselamatan pengguna di samping menggalakkan aktiviti di dalam bidang mesra alam; dan
  • menambah baik instrumen pelaksanaan dasar di bawah NAP sedia ada.

Dasar dan langkah baru di bawah kajian semula NAP dijangka memberi sumbangan bermakna kepada keseluruhan pembangunan industri dan negara. Penekanan akan diberi bagi menarik pelaburan dalam aktiviti pengilangan bernilai tambah tinggi yang menggunakan teknologi tinggi dan terkini. Pengeluaran Lesen Pengilang (ML) untuk aktiviti pengilangan dan pemasangan bagi segmen tertentu terutamanya kenderaan mewah dan hibrid/elektrik akan menggalakkan pelaburan baru dan pembesaran bagi pelaburan sedia ada di dalam negara. Ketika ini, segmen kenderaan hibrid/elektrik masih baru dan mempunyai potensi untuk terus digalak dan dibangunkan di rantau ini. Dengan bantuan insentif yang sesuai dari Kerajaan, Malaysia mampu menarik syarikat-syarikat pengeluar kenderaan utama dunia (OEM) untuk memindahkan operasi mereka ke Malaysia.

Penekanan yang diberikan kepada aspek keselamatan dan persekitaran di bawah kajian semula NAP akan memastikan pembangunan berterusan industri automotif tempatan. Pemansuhan secara berperingkat pengimportan produk automotif terpakai dan pengenalan standard mandatori bagi komponen dan alat ganti serta standard dan kualiti bahan api minyak petrol dan diesel bagi kenderaan akan meningkatkan pembangunan industri automotif dalam jangka masa panjang.

Sebagai salah satu langkah untuk meningkatkan daya saing pengeluar kereta nasional, satu usahasama strategik di antara PROTON dan satu syarikat OEM global akan diwujudkan. Usahasama ini perlu memastikan:

  • peningkatan eksport dan menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran serantau;
  • pemindahan teknologi dan pelaksanaan aktiviti R&D di Malaysia;
  • peningkatan kandungan tempatan dan pembangunan program vendor Bumiputera;
  • meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam jaringan pengedaran kenderaan; dan
  • jenama PROTON dan syer pasaran tempatan untuk segmen tertentu akan dikekalkan.

Malaysia komited dalam melaksanakan obligasinya di bawah ASEAN dan WTO. Malaysia akan terus melaksanakan komitmennya di bawah pelbagai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) bagi penghapusan atau pengurangan duti import produk automotif.

Selaras dengan komitmen antarabangsa Malaysia, sistem Lesen Import (AP) akan dimansuhkan seperti berikut:

  • AP Terbuka untuk kenderaan terpakai (perdagangan, penumpang dan motosikal) akan dimansuhkan pada 31 Disember 2015; dan
  • AP Francais akan dimansuhkan pada 31 Disember 2020.

Pemansuhan sistem AP menjelang 2015 akan memberikan hala tuju yang jelas dan sebagai tempoh peralihan kepada pemegang AP sedia ada untuk mempelbagai dan menceburi perniagaan baru.

Sebagaimana diumumkan dalam Bajet 2010, setiap AP Terbuka yang dikeluarkan akan dikenakan caj sebanyak RM10,000. Satu dana akan diwujudkan menerusi kutipan caj tersebut bagi membantu usahawan Bumiputera menceburi bidang/aktiviti tertentu, termasuk:

  • mendapatkan hak pengedaran/francais bagi jenama-jenama lain;
  • program pembesaran bagi pengedar yang dilantik.
  • menceburi sub-sektor automotif atau perniagaan lain;
  • menaik taraf bilik pameran dan pusat servis; dan
  • penyertaan dalam seminar/pameran/persidangan/mesyuarat atau misi perdagangan berkaitan automotif.

DASAR DAN LANGKAH BARU DI BAWAH KAJIAN SEMULA NAP

Beberapa dasar dan langkah-langkah baru meliputi pelesenan, duti, insentif, teknologi dan alam sekitar, keselamatan dan standard, dan Lesen Import (AP) akan diperkenalkan di bawah kajian semula NAP dengan tujuan untuk meningkatkan daya saing industri automotif dan pasaran yang lebih terbuka. Dasar dan langkah-langkah baru adalah seperti berikut:

A.LESEN PENGILANG: MEMPROMOSIKAN SEGMEN BERIMPAK TINGGI

Pembekuan Lesen Pengilang (ML) baru yang dilaksanakan sehingga ini akan ditarik balik bagi segmen automotif terpilih yang dikenal pasti sebagai strategik dan berimpak tinggi kepada ekonomi negara. Liberalisasi Lesen Pengilang ini penting dalam menghasilkan keuntungan yang lebih tinggi, kenderaan berorientasi perniagaan dan kenderaan yang mesra alam sekitar.

Langkah baru 1 :

  • Secara khususnya, dasar baru ini akan menarik balik pembekuan Lesen Pengilang bagi segmen:
    • kereta mewah berkapasiti enjin 1,800c.c dan ke atas dengan harga atas jalan tidak kurang daripada RM150,000;
    • kenderaan hibrid dan elektrik;
    • kenderaan jenis pick up;
    • kenderaan perdagangan; dan
    • motosikal berkapasiti enjin 200c.c dan ke atas.
  • Pengeluaran Lesen Pengilang baru bagi segmen ini tidak dikenakan syarat ekuiti.
  • Dasar semasa berhubung pemasangan kenderaan secara kontrak dikekalkan bagi menggalakkan penggunaan lebihan kapasiti sedia ada.
  • Dasar semasa berhubung pembekuan Lesen Pengilang bagi aktiviti bina semula kenderaan perdagangan dikekalkan.

B. CUKAI/DUTI: GALAKAN EKSPORT BAGI PRODUK BERNILAI TAMBAH TINGGI

I. Pengecualian Cukai ke Atas Nilai Peningkatan Eksport bagi Kenderaan dan Alat Ganti/ Komponen

Kajian semula NAP memperkenalkan kadar pengecualian cukai yang lebih tinggi bagi produk yang dieksport yang mempunyai tahap nilai tambah tertentu. Ini mencerminkan sasaran negara dalam meningkatkan jumlah dan kualiti produk yang dieksport. Pada masa ini, pengecualian cukai ke atas pendapatan berkanun bagi semua sektor ditawarkan berdasarkan peningkatan pada peratusan nilai tambah produk.

Langkah baru 2 :

  • Pengecualian cukai ke atas pendapatan berkanun untuk pengilang dalam industri automotif ditingkatkan:
    • daripada 10 peratus kepada 30 peratus daripada nilai peningkatan eksport yang diberikan kepada pengilang dengan syarat produk berkenaan yang dieksport mencapai sekurang-kurangnya 30 peratus nilai tambah; dan
    • daripada 15 peratus kepada 50 peratus daripada nilai peningkatan eksport yang diberikan kepada pengilang dengan syarat produk berkenaan yang dieksport mencapai sekurang-kurangnya 50 peratus nilai tambah.

II. Duti Import: pengurangan/penghapusan bagi memenuhi komitmen Perjanjian Perdagangan Bebas

Adalah menjadi keutamaan kepada MITI dalam mempromosikan perdagangan antarabangsa yang bebas dan menguntungkan negara. Di bawah Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA), Malaysia komited untuk mengurang atau menghapuskan duti import semasa secara berperingkat. Sektor automotif akan turut memenuhi komitmen negara seperti yang dipersetujui di dalam pelbagai FTA. Maklumat berhubung struktur pengurangan/penghapusan duti import ini boleh diperoleh di dalam Perjanjian Perdagangan Bebas berkaitan. (Sila rujuk ke laman web MITI: www.miti.gov.my).

III. Duti Import dan Eksais bagi Kenderaan Dipasang Siap Sepenuhnya (CBU) dan Terurai Sepenuhnya (CKD)

Kadar duti import (Most Favoured Nation – MFN) dan eksais bagi kenderaan CBU dan CKD semasa dikekalkan ( Lampiran ).

IV. Pewartaan Harga Kereta Import Terpakai untuk Menangani Masalah Underdeclaration

Pada masa ini, pewartaan harga hanyalah bagi kenderaan baru yang diimport dalam bentuk yang dipasang siap (CBU) untuk tujuan pengiraan cukai. Kajian semula NAP akan turut mewujudkan pewartaan harga bagi kenderaan CBU import terpakai.

C. TEKNOLOGI: GALAKAN BAGI PRODUK BERNILAI TAMBAH TINGGI DAN BERTEKNOLOGI HIJAU

I. Insentif Lebih Menarik bagi Pengeluaran Komponen/ Alat Ganti Kritikal dan Bernilai Tambah Tinggi

Galakan bagi pengeluaran komponen dan alat ganti kritikal serta bernilai tambah tinggi adalah penting dalam meningkatkan teknologi dan modal insan tempatan serta menyumbang kepada pembangunan jangka panjang negara. Syarikat-syarikat yang terlibat dalam aktiviti pengeluaran transmission system, brake system, airbag system dan steering system layak untuk mendapatkan insentif fiskal yang lebih baik iaitu layanan Taraf Perintis (PS) sebanyak 100 peratus bagi tempoh 10 tahun atau Elaun Cukai Pelaburan (ITA) sebanyak 100 peratus bagi tempoh 5 tahun.

II. Galakan bagi Kenderaan Hibrid/Elektrik dan Pembangunan Infrastuktur Berkaita

Pelaburan dalam pembangunan kenderaan hibrid dan elektrik memberi faedah dari segi pemindahan teknologi baru dan terkini serta ke arah mempromosi dasar tenaga yang mampan. Insentif yang komprehensif meliputi insentif fiskal, pengecualian cukai serta geran penyelidikan dan pembangunan (R&D) adalah langkah-langkah baru di bawah kajian semula NAP dalam memaksimumkan pulangan ke atas pelaburan yang dilakukan.

Cadangan Baru 3 :

  • Pelaburan dalam aktiviti pembuatan atau pemasangan kenderaan hibrid dan elektrik akan mendapat:
    • 100 peratus PS atau ITA untuk tempoh 10 tahun;
    • Geran bagi R&D dan latihan di bawah Galakan Istimewa (Customised Incentives) sebagai tambahan kepada geran sedia ada;
    • pengecualian duti eksais sebanyak 50 peratus daripada kadar semasa bagi kenderaan yang dipasang dalam negara atau pemberian geran di bawah Dana Penyelarasan Industri (IAF);
    • PS sebanyak 100 peratus bagi tempoh 10 tahun atau ITA sebanyak 100 peratus bagi tempoh 5 tahun bagi pengeluaran komponen kritikal seperti:
      • electric motors;
      • batteries;
      • Battery Management System (BMS);
      • Inverter;,
      • electric airconditioning;
      • air compressor;
  • Insentif-insentif lain yang lebih menarik boleh dipertimbangkan secara customised bergantung kepada aktiviti yang dicadangkan.
  • Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air akan mewujudkan pelan jangka panjang pembangunan infrastruktur bagi kenderaan elektrik.

D. PINJAMAN MUDAH/GERAN: LANGKAH UNTUK MENINGKATKAN DAYA SAING PENGELUAR KOMPONEN/ALAT GANTI

Bagi meningkatkan daya saing pengeluar komponen dan alat ganti serta meningkatkan sumbangannya dalam industri automotif dan ekonomi, dana Pembangunan Automotif (ADF) dan Dana Penyelarasan Industri (IAF) akan diteruskan.

E. STANDARD: USAHA BAGI MENINGKATKAN KESELAMATAN

I. Pembangunan Sepenuhnya Kemudahan Vehicle Type Approval (VTA)

Di bawah NAP sedia ada, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah dipertanggungjawabkan bagi melaksanakan VTA yang mana pada masa ini masih belum dibangunkan sepenuhnya. Di bawah kajian semula NAP, Kementerian Pengangkutan akan memberi keutamaan di dalam Rancangan Malaysia Ke Sepuluh (RMK-10) untuk memastikan penubuhan sepenuhnya kemudahan VTA bagi standard dan pengujian.

II. Pengenalan dan Penguatkuasaan Standard Mandatori Secara Berperingkat ke atas Komponen dan Alat Ganti

Penguatkuasaan standard mandatori ke atas komponen dan alat ganti masih lemah memandangkan tiada agensi penguatkuasaan khusus yang bertanggungjawab dalam menguatkuasakan standard. Di bawah kajian semula NAP, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan menyelaras dan mewujudkan pelan jangka panjang bagi memperkenal dan menguatkuasakan standard mandatori bagi semua produk automotif.

III. Pemansuhan Secara Berperingkat Pengimportan Alat Ganti dan Komponen Terpakai

Kesedaran terhadap keselamatan dan alam sekitar telah meningkat disebabkan pengimportan alat ganti dan komponen terpakai tanpa sebarang sekatan atau pemeriksaan wajib. Kajian semula NAP akan memperkenalkan satu mekanisme bagi larangan pengimportan alat ganti dan komponen terpakai berkuatkuasa Jun 2011.

IV. Pemansuhan Berperingkat Pengimportan Kenderaan Perdagangan Terpakai

Pada masa ini, pengimportan kenderaan perdagangan terpakai adalah dibenarkan. Di bawah kajian semula NAP, pengimportan kenderaan perdagangan terpakai akan dimansuhkan berkuatkuasa 1 Januari 2016 selaras dengan:

  • pemansuhan secara berperingkat pengimportan alat ganti dan komponen terpakai; dan
  • pemansuhan sistem AP bagi kenderaan terpakai.

V. Pelan Pembangunan Standard Bahan Api Minyak Petrol dan Diesel bagi Kenderaan

Bermula September 2009, spesifikasi EURO 2M bagi petrol dan diesel telah dilaksanakan. Kerajaan ketika ini telah mensasarkan untuk melaksanakan spesifikasi EURO 4M bagi petrol dan diesel pada 2011. Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar akan mewujudkan pelan pembangunan jangka panjang bagi standard dan kualiti bahan api minyak dan petrol.

VI. Pengenalan Dasar Tempoh Jangka Hayat Kenderaan

Pada masa ini, terdapat 2.7 juta kenderaan penumpang berusia 10 tahun atau lebih berada di jalan raya. Berbanding negara lain, Malaysia mempunyai kadar pelupusan kenderaan lama yang rendah dan purata usia kenderaan yang tinggi.

Sebagai langkah awal ke arah pelaksanaan sepenuhnya Dasar Tempoh Jangka Hayat (ELV), kajian semula NAP akan memperkenalkan pemeriksaan mandatori tahunan sebagai syarat bagi pembaharuan cukai jalan untuk semua kenderaan berusia 15 tahun atau lebih.

Kementerian Pengangkutan akan merangka pelan bagi mewujudkan Dasar Tempoh Jangka Hayat Kenderaan.

F. SISTEM LESEN IMPORT

Selaras dengan komitmen antarabangsa Malaysia, sistem pentadbiran AP Terbuka akan dimansuhkan mulai 31 Disember 2015, manakala bagi AP Francais pula pada 31 Disember 2020.

Bermula 1 Januari 2010, caj sebanyak RM10,000 akan dikenakan bagi setiap unit AP Terbuka yang dikeluarkan dan hasil kutipan akan digunakan bagi mewujudkan dana khas untuk membantu syarikat Bumiputera menceburi bidang perniagaan automotif dan perniagaan-perniagaan lain.

G. DIMENSI NASIONAL: RAKAN KONGSI STRATEGIK PROTON

Satu perkongsian strategik di antara PROTON dan syarikat pembuat kenderaan utama dunia akan diwujudkan bagi meningkatan daya saing dan keupayaan jangka panjang PROTON di pasaran global.

H. TARIKH KUATKUASA

Dasar dan langkah-langkah baru ini akan dikuatkuasakan bermula 1 Januari 2010.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri akan menyelaras dengan kementerian dan agensi Kerajaan berkaitan mengenai tindakan susulan bagi pelaksanaan dasar dan langkah-langkah baru yang diperkenalkan di bawah kajian semula NAP.

Untuk keterangan lanjut, sila hubungi:

  1. Encik Nik Rahmat Nik Taib
    Pengarah Kanan
    Bahagian Dasar Sektoral dan Khidmat Industri
    Tel : 03-6203 4719
    Emel : rahmat@miti.gov.my
  2. Puan Noor Wahida Noordin
    Pengarah
    Bahagian Dasar Sektoral
    Tel : 03-6203 5648
    Emel : wahida@miti.gov.my
  3. Encik Muhammad Razman Abu Samah
    Pengarah
    Seksyen kawalan Import dan Eksport
    Tel: 03-6203 4808
    Emel: razman@miti.gov.my
  4. Encik Ahmad Azrai Abd. Mubin
    Ketua Penolong Pengarah
    Bahagian Dasar Sektoral
    Tel: 03-6203 4742
    Emel: azrai@miti.gov.my
  5. Puan Suhaili Ismail
    Ketua Penolong Pengarah
    Seksyen kawalan Import dan Eksport
    Tel: 03-6203 3475
    Emel: suhaili@miti.gov.my

1 Langkah sedia ada :

  • Pembekuan Lesen Pengilang baru adalah berikutan lebihan kapasiti di pasaran tempatan.
  • Syarikat pemasang kenderaan diberi kebenaran untuk membenarkan lebihan kapasiti pengeluaran mereka digunakan oleh pihak ketiga (pemasangan secara kontrak) bagi memasang jenis atau model kenderaan baru yang tidak bersaing secara langsung dengan kenderaan yang dikeluarkan oleh pembuat kenderaan nasional.

2 Langkah sedia ada :

Pengecualian cukai ke atas pendapatan berkanun (statutory income) untuk semua sektor diberi berdasarkan peratus peningkatan nilai eksport dengan syarat produk berkenaan mencapai kriteria nilai tambah yang ditetapkan seperti berikut:

  • 10 peratus daripada nilai peningkatan eksport diberikan kepada pengilang dengan syarat barangan berkenaan mencapai sekurang-kurangnya 30 peratus nilai tambah; dan
  • 15 peratus daripada nilai peningkatan eksport diberi kepada pengilang dengan syarat barangan berkenaan mencapai sekurang-kurangnya 50 peratus nilai tambah .

3 Langkah sedia ada :

Di bawah Bajet 2009, pengimportan kenderaan CBU hibrid:

  • dikecualikan dari duti import; dan
  • diberikan 50% pengecualian duti eksais.

Kedua-dua pengecualian diberikan bagi tempoh 2 tahun sehingga 31 Disember 2010 untuk menggalakkan pemasangan tempatan

Pada masa kini, tidak terdapat infrastruktur khusus di dalam negara bagi kenderaan elektrik.


KEMENTERIAN PERDAGANGAN ANTARABANGSA DAN INDUSTRI
KUALA LUMPUR, MALAYSIA
28 OKTOBER 2009